Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman (kiri) bersama Nur Assurau Hashim (tengah) dan ibunya, Che Mah Ulong bergambar selepas Majlis Penyerahan Pembiayaan PTPTN Anak Asnaf Cemerlang Tahun 2025

KUANTAN – “Sekarang boleh fokus belajar ijazah dengan tenang.”

Begitu luahan Mohamad Armien Shahari, 22 yang merupakan salah seorang penerima program insentif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini.

Anak kedua daripada enam adik beradik itu baru menamatkan pelajaran Diploma Pengajian Al-Quran dan Sunnah di sebuah institusi pengajian tinggi di sini dengan cemerlang pada bulan November tahun lepas.

Bagaimanapun, dia mengakui berasa ragu-ragu untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana memikirkan penambahan kos pinjaman PTPTN yang akan ditanggungnya kelak.

Mohamad Armien Shahari

“Tapi, sebab MUIP bantu dengan bayaran 100 peratus pinjaman PTPTN bagi pengajian diploma baru-baru ini, saya rasa nak sambung belajar ni jadi rasa tak terbeban.

“Sekarang saya tak lagi rasa ragu-ragu. Kalau tidak, saya rasa baik saya bekerja untuk bayar balik pinjaman pelajaran tu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pembiayaan PTPTN Anak Asnaf Cemerlang Tahun 2025, di sini hari ini.

Anak kelahiran Kuala Rompin itu menerima replika cek berjumlah RM20,556.47 daripada pihak MUIP susulan kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, MUIP mengumumkan peruntukan keseluruhan sejumlah RM481,232.49 bantuan pembiayaan PTPTN kepada 40 orang pelajar asnaf negeri ini bagi tahun 2025.

Penerima bagi Majlis Penyerahan Pembiayaan PTPTN Anak Asnaf Cemerlang Tahun 2025 bergambar bersama pihak MUIP, PKZ, Wakaf Pahang dan PTPTN.

 

Sementara itu, Nur Assurau Hashim, 24 yang merupakan salah seorang penerima turut meluahkan rasa syukur kerana dibantu 100 peratus pembiayaan pinjaman PTPTN selepas tamat pengajian Diploma Teknologi Maklumat dengan cemerlang tahun lepas.

“Saya sudah mula bekerja selepas habis belajar dan membayar semula pinjaman PTPTN sejak bulan Mac 2025, sebab saya tahu kalau sambung belajar nanti kos akan bertambah.

“Tapi, saya rasa bantuan ni meringankan tanggungan bulanan saya kerana saya perlu membantu menyara kedua ibu bapa. Mak saya tak bekerja dan ayah pula menghidap strok sebelah badan,” jelasnya.

Nur Assurau Hashim

Pada majlis itu, Nur Assura menerima replika cek bernilai RM13,332.79 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan PTPTNnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman menjelaskan, insentif itu khusus bagi penerima bantuan MUIP sahaja.

“Penerima pun tak tahu mereka terpilih sebab nama-nama penerima ni kita dapat daripada pihak PTPTN dan mereka serahkan kepada kita untuk buat saringan berdasarkan rekod penerima bantuan MUIP.

“Kita pecahkan kepada tiga kategori mengikut pencapaian iaitu bagi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 kita bayar 50 peratus, 3.5 pula dibayar 75 peratus daripada pinjaman PTPTNnya dan 3.7 ke atas di mana kita bayar sepenuhnya” katanya.

Sebagai rekod, program insentif bayaran balik pinjaman ini mula dilaksanakan pada 12 Ogos 2023 kepada anak-anak asnaf yang merupakan penerima bantuan bulanan MUIP dan telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Diploma dengan keputusan cemerlang.

Sehingga tahun 2025, seramai 131 orang anak-anak asnaf di negeri ini telah dibantu MUIP menerusi insentif itu dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1,499,110.68. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast