KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pendedahan maklumat peribadi, gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan.
MMM berkata, pihaknya mengambil maklum permohonan maaf terbuka serta penjelasan yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) susulan semakan dalaman berhubung isu yang melibatkan salah seorang wartawannya.
Menerusi kenyataan MMM berkata, pihaknya mengiktiraf langkah diambil oleh organisasi berita berkenaan untuk menangani isu yang berlaku dan memikul pertanggungjawaban secara terbuka, selaras dengan prinsip ketelusan serta tanggungjawab editorial.
Menurut MMM, tindakan seperti mendedahkan maklumat peribadi dan ugutan bukan sahaja meletakkan pengamal media dalam keadaan berisiko malah, mencabul privasi, keselamatan serta hak asasi mereka sekali gus menjejaskan peranan asas kewartawanan dalam masyarakat demokratik.
“Tiada wartawan wajar terdedah kepada ancaman atau kecederaan peribadi tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap hasil kerja mereka.
“MMM menegaskan, kepentingan wartawan mengekalkan pemikiran kritikal dalam pelaporan termasuk dalam pembentukan soalan dan naratif. Pendekatan itu, perlu berasaskan persediaan rapi, penyelidikan mendalam serta analisis teliti terhadap isu yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MMM turut menekankan tanggungjawab mengekalkan piawaian kewartawanan tidak terletak kepada wartawan secara individu semata-mata, sebaliknya turut dipikul oleh bilik berita dan organisasi media.
Ini katanya, termasuk penyediaan latihan yang sesuai, bimbingan editorial serta pembudayaan persekitaran editorial yang kukuh bagi menyokong kewartawanan bertanggungjawab tanpa mewujudkan suasana ketakutan atau penapisan kendiri.
Sehubungan itu, MMM menggesa semua pihak agar mengamalkan sikap berhemah dan bertenang dalam menangani sebarang isu berkaitan kewartawanan.
“Mengemukakan soalan kepada pakar, tokoh awam dan pihak berkepentingan di ruang awam disifatkan sebagai amalan sah dan telah lama diterima dalam profesion kewartawanan.
“Sebarang kebimbangan terhadap amalan media, wajar ditangani melalui saluran yang profesional, seimbang dan membina, bukannya menerusi kecaman terbuka atau tindakan menghukum yang disasarkan kepada individu,” ujarnya.
MMM menambah, sebagai badan berkanun bebas yang ditubuhkan bagi memelihara piawaian serta kebertanggungjawaban media, MMM bersedia untuk memainkan peranan memudah cara dialog atau pengantaraan antara pihak-pihak terlibat, sekiranya difikirkan sesuai. – MalaysiaGazette
















