MARAN – Polis menyeru mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita warga emas di Jalan Felda Ulu Jempol, di sini untuk tampil bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi semalam melibatkan sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti.
“Kemalangan tersebut menyebabkan seorang pejalan kaki iaitu wanita warga emas berusia 65 tahun yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Jengka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, sehingga kini tiada saksi yang tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan pihaknya belum menerima sebarang laporan dibuat oleh pihak bertanggungjawab.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















