Logo AirAsia X

KUALA LUMPUR – AirAsia X Berhad (AirAsia X) berjaya menyelesaikan pengambilalihan AirAsia Berhad (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Berhad (Capital A), sekali gus menandakan tamatnya proses penyatuan kumpulan penerbangan tersebut.

Transaksi ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan sebanyak 2,307,692,307 saham biasa baharu dalam AirAsia X (saham balasan) kepada Capital A dan pemegang sahamnya yang layak, berserta pengambilalihan oleh AirAsia X terhadap hutang berjumlah RM3.8 bilion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AAB.

AirAsia X turut memperuntukkan dan menerbitkan 606,060,606 saham biasa baharu kepada pelabur pihak ketiga bebas menerusi penempatan persendirian (saham penempatan).

Saham balasan dan saham penempatan dijadualkan untuk disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 19 Januari 2026.

Penyempurnaan transaksi ini menyatukan semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia di bawah satu platform syarikat penerbangan tunggal (AirAsia Group), manakala Capital A beralih tumpuan untuk mengembangkan portfolio bukan penerbangan.

Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee berkata, dengan penyatuan ini, syarikat telah mewujudkan platform penerbangan  lebih kukuh dan tersusun, yang berada pada kedudukan baik untuk pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.

Lembaga Pengarah, katanya, juga yakin integrasi ini akan membuka sinergi yang ketara dan mengukuhkan kepimpinan AirAsia Group di rantau ini.”

Penyatuan ini dijangka membuka kecekapan operasi dan kewangan, termasuk penggunaan armada yang lebih baik, perancangan rangkaian yang lebih bersepadu serta platform operasi yang lebih berdaya tahan, di samping memanfaatkan ekosistem penerbangan dan pelancongan yang lebih luas yang dibangunkan melalui kumpulan syarikat Capital A.

Kumpulan juga sedang memuktamadkan tempahan pesawat tambahan bagi memperluas jangkauan, menghubungkan dunia dengan ASEAN dan ASEAN dengan dunia.

Lee Ee menambah, pengembangan ini menjadi pemacu utama kepada aspirasi model rangkaian kos rendah syarikat, disokong oleh tumpuan berterusan untuk mengekalkan asas kos yang sangat kompetitif.

Menurutnya, tumpuan AirAsia X kini kekal kepada pengembangan secara berdisiplin, memastikan perniagaan berada pada kedudukan kukuh untuk beroperasi dengan boleh dipercayai, bertindak balas terhadap permintaan, dan terus menawarkan perjalanan udara yang mampu milik dalam jangka panjang, sambil mewujudkan nilai mampan kepada para pemegang saham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast