Logo di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

Tegas kementerian itu, tindakan tersebut, termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

Katanya, tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam

“Perlu dijelaskan bahawa sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Justeru, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi Diraja dan hierarki kepimpinan ATM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kementerian Pertahanan turut mengingatkan semua pihak bahawa sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

Pihak yang terlibat dinasihatkan supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM, serta mengelirukan masyarakat.

Kementerian Pertahanan juga tegasnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang- undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat sulit Kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mahupun Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat dalaman Kerajaan di platform media sosial.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran Kementerian dan ATM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast