Pasukan carian dan penyelamat bersama mendaki menuju ke lokasi yang disyaki tempat pesawat turboprop Indonesia Air Transport terhempas, selepas pesawat itu terputus hubungan sehari sebelumnya ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar, di Pergunungan Bulusaraung, Sulawesi Selatan, Indonesia, pada 18 Januari 2026. foto AFP

MAKKASAR, Indonesia – Pasukan penyelamat sudah menemui serpihan sebuah pesawat kecil yang dilaporkan hilang di timur Indonesia, namun masih belum menemui 10 penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut.

Pesawat turboprop Indonesian Air Transport itu terputus hubungan dengan pengawal trafik udara pada petang Sabtu ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke bandar Makassar di Pulau Sulawesi.

Antara serpihan yang ditemui, pasukan carian dan penyelamat bersama menjumpai apa yang dipercayai sebagai “bahagian badan pesawat, bahagian ekor dan tingkap”, kata ketua Agensi Carian dan Penyelamat Makassar, Muhammad Arif Anwar, dalam satu sidang media.

Satu unit penyelamat turut digerakkan melalui udara untuk mencari penumpang yang hilang, kata Arif.

“Keutamaan kami sekarang ialah mengesan mangsa, dan kami berharap masih ada yang dapat diselamatkan dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Pesawat itu terhempas di Gunung Bulusaraung di Taman Negara Bantimurung-Bulusaraung, yang bersempadan dengan bandar Makassar.

Operasi carian di darat dan udara melibatkan lebih daripada 1,000 orang termasuk anggota tentera udara, polis dan sukarelawan.

Ketua tentera tempatan, Bangun Nawoko memberitahu media, usaha menyelamat terhalang oleh bentuk muka bumi yang sukar dan keadaan berkabus.

Tiga kakitangan kerajaan dari Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan adalah antara mereka yang berada di dalam pesawat tersebut, bersama tujuh anak kapal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast