Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah

 

BAYAN LEPAS – Suami kepada pelakon Nadiah Kasumawati Abdul Karim, atau lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berlepas ke Jeddah, Arab Saudi hari ini bagi menguruskan jenazah Allahyarhamah.

Beliau berkata, dia bersama anak perempuannya akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berlepas ke Jeddah pada jam 5.35 petang ini

“Saya dimaklumkan mengenai berita kematian isteri oleh Wisma Putra malam tadi.

“Buat masa ini saya tidak boleh memberikan butiran lanjut dan Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini,

Beliau turut memaklumkan jenazah Allahyarhamah tidak akan dibawa pulang ke tanah air sebaliknya dikebumikan di Arab Saudi.

“Kami tidak membawa pulang jenazah dan akan dikebumikan di sana. Dia selalu menyatakan hasrat untuk ke Mekah, jadi kami tunaikan permintaannya,” katanya ringkas.

Terdahulu media melaporkan kehilangan pelakon Nadia Kesuma terungkai apabila dia dilaporkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi akibat sakit jantung pada 15 Januari lalu, jam 8.07 pagi waktu tempatan.

Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma itu dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu.

Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.

Susulan itu, suaminya merayu kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian isterinya yang dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast