KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh menafikan realiti semasa termasuk isu-isu sensitif seperti 3R (agama, kaum dan institusi diraja) menuntut ruang dialog yang jujur dan terkawal.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mengelak perbincangan hanya akan membiarkan isu-isu itu dieksploitasi secara tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu penubuhan satu kolaborasi agung (grand collaboration) antara parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Melayu dan Islam adalah langkah ke arah memberi ruang berdialog untuk orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.
“Perbezaan politik bukan alasan untuk tidak bersama atas kelangsungan satu bangsa dan agama. UMNO mengambil tanggungjawab ini secara serius kerana UMNO merupakan satu-satunya parti Melayu yang mempunyai legitimasi, autoriti dan kedudukan dalam kerajaan untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengulas berhubung pembentukan kolaborasi agung itu yang dicadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini semalam.
Tambah Azalina, cadangan kolaborasi agung itu bukan satu koalisi (pakatan) politik dan tidak sama sekali bertujuan untuk menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan yang sedang mentadbir negara.
Sebaliknya, jelas beliau, ia adalah satu ruang musyawarah dan kolaborasi berasaskan titik persamaan isu-isu bersama khususnya berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.
“Perwakilan telah menyatakan persetujuan secara jelas apabila Presiden mengemukakan cadangan ini dan sokongan tersebut dizahirkan sebanyak tiga kali di dewan persidangan.
“Ini menunjukkan kesepakatan bahawa perbincangan seperti ini perlu diadakan secara matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, usaha itu juga melangkaui sempadan politik kepartian, melibatkan pertimbangan pandangan daripada NGO, pertubuhan masyarakat (CSO) dan pelbagai pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam kerangka negara majmuk.
“UMNO kekal komited kepada kestabilan negara, perpaduan rakyat dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan MADANI di samping memastikan amanah terhadap agama, bangsa dan negara terus dipelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















