Antara barangan yang dirampas daripada suspek warga Myanmar yang melakukan aktiviti pecah kedai.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kedai di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M. Kumarasan berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri di Nusa Bestari di sini pukul 8.30 malam pada 14 Januari lalu.

Tangkapan tersebut dibuat susulan siasatan melibatkan beberapa kes pecah kedai di kawasan Gelang Patah dan Iskandar Puteri dalam bulan lalu.

*Hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada penahanan suspek tersebut yang dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan berkenaan.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah, antaranya sebuah telefon bimbit, pelitup muka dan sepasang pakaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kedai yang berlaku di daerah ini sekali gus meredakan kebimbangan peniaga tempatan yang terjejas akibat jenayah tersebut.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bermula 15 hingga 21 Januari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah atau premis dengan niat melakukan jenayah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda dan jika melibatkan kesalahan mencuri boleh disebat.

Kumarasan menegaskan, pihak polis akan terus komited bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras sebarang perlakuan jenayah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast