KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengambil perhatian serius kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kes rasuah melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah wajar dihindari khususnya melibatkan ATM yang sangat penting dalam melaksanakan tanggungjawab dan memerlukan keyakinan rakyat.
“Peringatan Yang di-Pertuan Agong itu kita ambil serius dan kita akan pastikan supaya ia jadi pegangan dan tidak berlaku sebagaimana kita lalui dalam tahun lepas dan tahun ini.
“Kita menjunjung kasih, kita ambil peringatan itu secara serius dan ambil pendekatan untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya dapat dihindari,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi hari ini.

Pada 7 Januari lalu, bekas Pegawai Tentera Darat (PTD) bersama dua isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan tender tentera darat.
Keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sidang media sebelum ini mengesahkan sejumlah RM11.4 juta nilai barangan disita dari dua kediaman bekas PTD termasuk satu di rumah rahsia yang terletak di sini.
Mohamed Khaled juga melahirkan rasa kesal apabila nama calon-calon bagi mengisi kekosongan jawatan tertinggi dalam ATM tersebar dalam kalangan khalayak umum sebelum ia diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Keputusan-keputusan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi di ATM itu perlu dibincangkan di peringkat Majlis ATM tetapi Majlis ATM tanggungjawabnya hanya mengesyorkan nama.
“Setiap jawatan yang kita telah bincangkan itu untuk disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong ada dua atau tiga nama, bukan satu nama sahaja.
“Tetapi maklumat yang diberi itu dia letak satu sahaja, maknanya macam itulah keputusan,” katanya.
Jelas Mohamed Khaled, Yang di-Pertuan Agong mesti berkenan atau meluluskan selepas Majlis ATM mengesyorkan calon-calon bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan tertinggi itu.
“Perkara itu memang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong perlu memberi perkenan untuk jawatan-jawatan tertinggi itu,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya sudah melaporkan perkara itu kepada pihak polis supaya siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menyebarkan perkara itu.
“Kita telah lakukan pengaduan kepada pihak polis dan kita minta supaya siasatan dibuat supaya perkara sebegini tidak berulang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















