KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mengenal pasti dua tanah rizab yang terletak di Pulau Pinang dan Pahang untuk dibangunkan kediaman mampu milik di bawah inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya komited menyediakan kediaman buat kakitangan dan anggota tentera sebagai satu penghargaan kepada mereka yang menjaga keselamatan negara.
“Kita ada banyak tanah rizab (seluruh negara), bila kita tak bangunkan, orang lain (kementerian lain) minta tanah kita.
“Setakat ini, ada dua hingga tiga tanah rizab dalam perhatian Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi hari ini.
Projek Perumahan SASaR Kementerian Pertahanan (MINDEF) bertujuan memastikan warga ATM, veteran dan kakitangan awam MINDEF memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik, terutamanya di Lembah Klang.
Menurut Mohamed Khaled, projek itu menawarkan rumah berharga RM150,000 hingga RM250,000 dengan projek terawal seperti Residensi Sateria Sungai Besi melibatkan sebanyak 3,500 unit yang siap sepenuhnya pada awal tahun ini.
Selain Sungai Besi, dua lagi lokasi projek SASaR di Lembah Klang termasuk Kem Wardieburn, Setapak (974 unit) dijadual bermula suku pertama 2025/2026 dan Kem Genting Klang, Setapak (6,400 unit).
“Keluasan kediaman antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi, ditawarkan jauh di bawah harga pasaran,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya menggunakan kaedah simulator bagi menggantikan lapangan sasar lama yang bakal didirikan perumahan mampu milik kepada anggota-anggotanya.
“Untuk meriam dan artileri, kita percaya dia tak boleh diganti, dia perlu diteruskan tetapi ada juga banyak tanah untuk lapangan sasar mungkin untuk senjata seperti pistol dan senapang.
“Banyak negara telah mengubah pendekatan dengan menyediakan simulator, jadi kita akan tengok kesesuaian tapak-tapak itu.
“Ini kerana banyak tapak itu kerana tak ada perancangan pembangunan maka kelilingnya telah dibangunkan projek-projek perumahan dan apabila kita nak laksanakan lapangan sasar, mungkin tak akan diluluskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















