Muhammad Shafee ketika sidang media di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan saman fitnah terhadap Tan Sri Tommy Thomas dan penerbit GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd mengenai kandungan buku mantan Peguam Negara itu bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, persetujuan dibuat di Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris, pada hari ini.

Jelas beliau, Tommy dan GB dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh peguamnya, Alan Adrian Gomez memberitahu mahkamah beliau tidak mengetahui sebarang bukti mengaitkan Najib dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sejak bukunya diterbitkan pada 2021.

“Sungguh pun dia (Tommy) kekalkan apa yang dia kata tentang Sirul dan Azilah ada akuan sendiri tapi semenjak buku diterbitkan beliau  sendiri tidak sedar atau tahu bahawa ada keterangan-keterangan yang boleh mengaitkan denga Altantuya sungguhpun dia difahami ada siasatan lanjut yang dikendalikan pihak tertentu sejak penerbitan buku beliau sejak 2021. Ini mustahak untuk Datuk Seri Najib.

“Dia (Tommy) kata, oleh sebab itu, dia tiada apa-apa bantahan bahawa kes ini ditarik balik dengan tiada apa perintah bagi mana-mana pihak,” katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

Justeru Muhammad Shafee berkata, kenyataan terkini bekas Peguam Negara itu merupakan satu kemenangan untuk Najib yang sebelum ini mempertahankan keadilan terhadap dirinya.

Dalam masa yang sama, tambahnya, perkembangan semasa tersebut dilihat berkemampuan untuk menamatkan khabar angin yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya.

“Anda boleh panggil ini sebagai satu kemenangan untuk Najib sebab sejak buku ini diterbitkan tiada ada apa-apa bukti siasatan mengaitkannya denga pembunuhan Altantuya.

“Segala cakap-cakap angin berkenaan Najib peru tertentu sebab bekas Peguam Negara sendiri mengatakan bahawa persetujuan di mahkamah bahawa sejak bukunya dicetak tidak ada langsung mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, Tommy dalam kenyataan berkenaan turut memberi jaminan akan memasukkan kenyataan tersebut sekiranya bukunya itu dicetak atau diterbitkan semula.

Dalam pada itu, katanya lagi, Najib gembira dengan persetujuan yang dicapainya pada hari ini.

“Anak guam saya (Najib) sangat gembira kerana bertahun-tahun beliau kecewa akibat tiada sebarang bukti namun khabar angin palsu terus tersebar mendakwa terlibat dalam pembunuhan.

“Hari ini, Najib lega kerana akhirnya wujud penyelesaian dan Tommy mengakui bahawa sejak 2021 tiada bukti atau sebarang keterangan yang mengaitkan perkara itu,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada Oktober 2021 Najib mengemukakan saman terhadap bekas Tommy  dan penerbit buku My Story: Justice In The Wilderness kerana mendakwa memfitnahnya apabila mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.

Selain Tommy, saman itu turut menamakan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Dalam saman tersebut, Najib berkata, Tommy menulis dan menyebabkan buku berkenaan diterbitkan yang mana defendan membuat kenyataan fitnah yang serius terhadapnya dalam bab ke-42 buku itu dengan tajuk Altantuya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast