KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aliran belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan mencatat aliran masuk bersih asing sebanyak RM716.1 juta, yang merupakan jumlah terbesar sejak pertengahan Mei 2025 (RM1.68 bilion), dan kira-kira 16.8 kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada kesemua lima hari dagangan, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Khamis (RM330.0 juta), diikuti Rabu (RM172.0 juta), Jumaat (RM115.5 juta), Selasa (RM69.5 juta) dan Isnin (RM29.2 juta).
Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM365.9 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM177.3 juta) dan perladangan (RM90.1 juta).
Sementara itu, hanya tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing iaitu pembinaan (-RM54.3 juta), penjagaan kesihatan (-RM52.9 juta) dan hartanah (-RM29.3 juta).
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi tempatan pula menamatkan rentetan belian bersih selama lapan minggu berturut-turut, dengan mencatat aliran keluar bersih berjumlah -RM588.2 juta minggu lalu, yang merupakan jumlah terbesar sejak pertengahan Mei 2025 (-RM1.35 bilion).
Pada masa yang sama, pelabur runcit kekal sebagai penjual bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM127.8 juta minggu lalu.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh dengan pelabur runcit tempatan +14.0%, institusi tempatan +18.2%, dan pelabur asing +18.7%. – MalaysiaGazette















