Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Peletakan jawatan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak akan memberi sebarang kesan terhadap kestabilan dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat jam 10 pagi tadi, beliau masih belum menerima surat berkenaan daripada Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang juga Ketua Pemuda UMNO itu.

“Kerajaan negeri akan tetap akan berjalan seperti biasa, dia (tindakan Dr Akmal) umpama garam segenggam campak ke laut tak akan ubah masinnya.

“Jadi saya sebagai ketua negeri apa pun dalam semangat berpasukan saya ada ketua saya iaitu presiden parti mengesahkan bahawa tidak ada ‘tebuk atap’ sehingga habis penggal,” katanya.

Ab Rauf Yusoh

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Melaka merupakan satu-satunya kerajaan yang bertindak sebagai pelengkap  kepada Kerajaan Persekutuan dan penubuhannya bukan berasaskan keterpaksaan untuk bergabung.

“Jadi, kalau Dr. Akmal nak buat apa pun itu terserah (kerana) saya melihat perkara ini berdasarkan sifat lebih peribadi dan bukan daripada kerajaan negeri sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, perjuangannya mengikut aliran suara orang muda,” katanya.

Ketua Menteri berkata, setakat  10 pag,  beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi peletakan jawatan Exco daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas penelitian sewajarnya dilakukan.

“Jika surat itu diterima, saya akan teliti dan kaji sama ada untuk menerima atau sebaliknya peletakan jawatannya sebagai seorang ahli Exco Kerajaan Negeri.

“Boleh dijangkakan (surat itu) diserah hari ini, esok ataupun lusa tapi surat ini saya kena susulkan kepada Tuan Yang Terutama Tun (Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam) kerana pelantikan Ahli Exco datang daripada beliau.

“Buat masa ini, kita tunggu dan lihat dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat pada masa yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast