KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) menyokong penuh pendirian tegas Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim berhubung kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ketua Pemuda PPP, Sathiah Sudakaran berkata, Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa rasmi, sebaliknya menjadi asas penyatuan rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum.
“Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berperanan menyatukan masyarakat. Menghormati bahasa kebangsaan adalah sebahagian daripada proses membina negara dan mengekalkan identiti Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda membawa mesej jelas bahawa perpaduan tidak boleh dibina tanpa penghormatan terhadap nilai teras negara.
“Kita boleh meraikan kepelbagaian, tetapi kesetiaan kepada Perlembagaan, bahasa kebangsaan dan sejarah negara tidak boleh dikompromi,” ujarnya lagi.
Sathiah menolak tanggapan penggunaan Bahasa Melayu menjejaskan identiti kaum tertentu sebaliknya menyifatkannya sebagai pemangkin kepada pembentukan identiti kebangsaan yang lebih kukuh.
“Menerima Bahasa Melayu tidak menghapuskan jati diri mana-mana komuniti. Ia menguatkan siapa kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan, penghormatan terhadap bahasa kebangsaan bukan pilihan peribadi, tetapi tanggungjawab bersama.
“Pemuda PPP berdiri teguh bersama Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan martabat Bahasa Melayu dan komited melahirkan generasi yang bersatu, berdisiplin serta berjiwa patriotik,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















