KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian sabung ayam dan bola golek berjaya dilumpuhkan menerusi Op Cakar di kawasan kebun haram dekat Pangsapuri Bayu Perdana, Klang, Selangor, semalam.
Serbuan bermula sekitar jam 5.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.
Krew MalaysiaGazette yang mengikuti operasi itu mendapati kawasan terbabit dipagari dengan kepingan zink dan ia dijadikan sebagai penanda untuk pemain yang terletak kira-kira 10 hingga 15 meter dari blok pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan itu pihaknya telah menahan seramai 72 lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti itu di lokasi berkenaan.
“Kesemua tangkapan membabitkan dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur, dan 70 orang pemain terdiri daripada 41 warga tempatan dan 31 bukan warga negara.
“Pemeriksaan pihak Veterinar Selangor pula, menemui 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam telah mati dipercayai akibat aktiviti sabung tersebut.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah beroperasi kira-kira enam bulan dengan menjadikan kawasan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan setiap hari ahad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati nilai pertaruhan bagi setiap perlawan sabung ayam dilaporkan mencecah sehingga RM10,000.
Berikutan itu katanya, dalam operasi terbabit polis telah menyita wang berjumlah RM55,057 dan merampas pelbagai peralatan perjudian.
“Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Tegasnya, polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras perjudian haram dari semasa ke semasa dan orang ramai digesa memaklumkan sebarang aktiviti jenayah demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti di Selangor. – MalaysiaGazette
















