Jentera hydraulic excavator yang digunakan untuk perlombongan emas secara haram di kawasan Ladang Sawit Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu

KUALA LUMPUR – Sindiket melombong emas secara haram berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di kawasan Ladang Sawit Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu.

Operasi itu dibongkarkan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan sekitar 6 petang.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, bertindak atas maklumat, dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan dan warga Myanmar yang berada dalam keadaan mencurigakan telah ditahan.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen perlombongan yang dibenarkan.

“Dalam operasi ini, pihak berkuasa telah menyita pelbagai jentera dan peralatan termasuk dua unit jentera hydraulic excavator, sebuah Toyota Hilux, enjin pam penyedut, palong, karpet pemprosesan.

“Ia termasuk serta diesel yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM640,729.40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah Toyota Hilux yang disita dalam sindiket perlombongan emas secara haram yang ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di kawasan Ladang Sawit Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu.

Kesemua suspek ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Jelasnya, pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang dilaksanakan melalui operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan telah membolehkan tindakan diambil secara menyeluruh, pantas dan berimpak tinggi.

Rosli menambah, ia bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan jenayah malah merangkumi aspek tanah, imigresen dan keselamatan negara.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi khazanah negara secara haram demi kepentingan peribadi.

“Aktiviti perlombongan emas secara haram bukan sekadar menyebabkan kerugian kepada negara daripada segi hasil malah membawa ancaman serius terhadap alam sekitar, keselamatan awam serta kedaulatan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast