Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya rasuah mesti diperangi habis-habisan termasuk siasatan ke atas pemberi rasuah dan ejen bukan sekadar pernyataan umum.

Sebaliknya, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia merupakan amanah nasional yang memerlukan tindakan segera dan komprehensif oleh semua institusi berkaitan demi memastikan integriti awam dan amanah rakyat terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, MCW menggesa tindakan besar-besaran mesti diambil bukan sahaja terhadap penerima rasuah, tetapi juga terhadap pemberi rasuah dan ejen yang selama ini kurang disentuh.

Selain itu, ujar beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mesti mempercepatkan siasatan dan pendakwaan tanpa ada unsur pilih kasih, kompromi atau sekatan.

Dalam masa sama, tegasnya, amalan rasuah di semua peringkat  sama ada politik, perniagaan, agensi kerajaan dan swasta tidak boleh ditoleransi sama sekali.

“MCW menuntut SPRM mengumumkan pelan tindakan jelas termasuk garis masa serta mekanisme pemantauan awam dalam membanteras gejala rasuah.

“Badan itu juga memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis serta pelbagai agensi antarabangsa untuk memastikan kes selesai dengan adil dan cepat.

“Selain itu, SPRM perlu tiada campur tangan politik atau tekanan luar yang boleh melemahkan proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di sini hari ini.

Sementara itu, Jais turut mengingatkan bahawa jawatan awam adalah amanah, bukannya platform untuk memperkayakan diri sendiri, kroni atau ahli politik.

Ujarnya, penyalahgunaan kuasa, dana atau aset awam adalah pengkhianatan kepada negara dan rakyat.

Sehubungan itu, kata beliau, semua pegawai kerajaan termasuk kontraktor, perunding dan pegawai atasan perlu dipertanggungjawabkan jika terbukti bersalah dalam jenayah rasuah.

Tegas beliau, peringatan Seri Paduka Baginda dalam isu rasuah itu bukan sekadar retorik tetapi panggilan kepada transformasi integriti negara.

“Rasuah bukan hanya soal salah laku individu, tetapi ia menghakis kepercayaan rakyat, merosakkan institusi, dan menghambat kemajuan negara.

“MCW berdiri teguh bersama rakyat dan institusi yang benar-benar komited memerangi rasuah tanpa kompromi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast