Pihak JAS Pahang menjalankan ujian 'in situ' di lokasi yang didakwa tercemar.

KUANTAN – Keadaan air Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang didakwa berubah warna dan tercemar baru-baru ini sudah kembali pulih dan selamat bagi kehidupan akuatik.

Pengarah JAS Pahang, Zakaria Ahmad @ Mohd berkata,  pihaknya telah menjalankan ujian ‘in situ’ di lokasi terbabit semalam susulan aduan diterima.

Keadaan Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub kembali pulih

“Pengujian ‘in-situ’ di lokasi aduan mendapati kadar kekeruhan air sungai adalah 75.48 NTU dan melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.

“Namun, bacaan pH adalah 7.34 dan “Dissolve Oxygen” (DO) sebanyak 7.47 mg/L adalah normal bagi kehidupan akuatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan pemeriksaan di sepanjang Sungai Lipis yang dijalankan, beliau memaklumkan hanya Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong didapati berwarna keruh.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati terdapat pelepasan kelodakan dari kolam takungan dari kawasan operasi lombong bijih besi yang terletak di hulu Sungai Bekil tersebut berdasarkan kesan-kesan limpahan yang ditemui semasa pemeriksaan dibuat.

“Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong. Berdasarkan rekod JAS, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan laporan “Environmental Impact Assestment” (EIA) di Daerah Raub, Pahang.

“Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum tahun 2015 adalah tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” tambahnya.

Pengarah JAS Pahang, Zakaria Ahmad @ Mohd

Zakaria berkata, hasil siasatan itu akan dimaklumkan kepada Jabatan Mineral & Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut agensi tersebut.

Beliau berkata, JAS akan terus menjalankan pemantauan kualiti air sungai dari masa ke semasa dan terus bekerjasama dengan Jabatan dan Agensi yang berkaitan.

“Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di http://eaduan.doe.gov.my,” katanya lagi.

Terdahulu, klip video memaparkan air sungai di Jambatan Sengkela, Raub berwarna kemerahan tular di laman media sosial semalam dan mengundang kebimbangan terhadap komuniti setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast