Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan prestasi membanggakan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.9 peratus bagi tahun 2025 mengatasi unjuran rasmi 4.0 hingga 4.8 peratus sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan KDNK cemerlang itu turut disusuli prestasi ringgit yang kukuh apabila turut meraih kedudukan terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Unjuran pertumbuhan tempoh Januari hingga September adalah pada 4.7 peratus tetapi Alhamdulilah angka suku tahun keempat iaitu pertumbuhan 5.7 peratus.

“Maka angka terkini pada pagi ini, saya ingin maklumkan pertumbuhan KDNK 2025 mencatat kadar 4.9 peratus.

“Iaitu mengatasi unjuran rasmi 4.0 hingga 4.8 peratus, bukan sahaja KDNK berkembangan tetapi prestasi ringgit terbaik lima tahun 4.05 ringgit ketimbang dolar Amerika Syarikat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohamad (BN- Simpang Renggam) yang bertanyakan faktor yang menyumbang prestasi pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2025.

Anwar turut memberitahu, Indeks Bursa Saham Malaysia telah mencatatkan 1,700 mata iaitu tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

“Ini kerjasama yang berhormat menjamin kestabilan politik dan kesinambungan kejelasan dasar bersama dengan usaha ggihh perkhidmatan awam dan peniaga dan pelabur.

“Keduanya tentang hala tuju negara itu agak jelas, sepertimana diumumkan tentang Pelan Induk Perindustrian, Transformasi Digital, peralihan tenaga dan lain-lain.

“Ketiga kesediaan kerajaan tekad politik melaksanakan pembaharuan dasar yang mencabar, membina keyakinan pelabur termasuk Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal dan defisit fiskal turun 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast