PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan seramai lebih 300 individu telah dikenakan notis kompaun di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan warga asing yang didapati membuang sampah di tempat awam dalam tempoh 15 hari sejak pelaksanaan perintah berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Sehingga kini, seramai 342 individu telah ditangkap. Saya jangka sebelum Tahun Baharu Cina, mereka akan dipanggil secara beramai-ramai untuk melaksanakan khidmat masyarakat seperti membersihkan jalan, mencuci longkang dan tandas awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat 2026 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kor Ming turut mengarahkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) supaya menggerakkan lebih 300 pegawai penguat kuasa bagi menjalankan tindakan tanpa mengira sama ada pesalah merupakan warga tempatan atau warga asing.
Media sebelum ini melaporkan, Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 sebagai salah satu hukuman bagi menangani masalah pembuangan sampah kecil di tempat awam.
KPKT dalam satu kenyataan pada 31 Disember lalu memaklumkan, pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan dimulakan secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
Hukuman tersebut dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan yang sama. – MalaysiaGazette
















