KUALA LUMPUR – Satu konsainan makanan haiwan yang diimport dari Portugal tanpa permit sah dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA.
Rampasan yang dianggarkan bernilai RM1,070.36 itu dirampas selepas pemeriksaan dijalankan di Zon Komersial Bebas (FCZ) KLIA Kargo, sekitar jam 1.07 petang semalam.
Konsainan itu mengandung makanan haiwan yang diimport tanpa Permit Import Maqis yang sah, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Konsainan itu didapati diimport dari Portugal oleh sebuah syarikat berdaftar milik warganegara tempatan dan rampasan melibatkan makanan haiwan seberat enam kilogram (kg) yang dibungkus dalam satu kotak.
“Kesemua barangan terbabit telah dirampas untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport komoditi pertanian tanpa Permit Import Maqis yang sah.
“AKPS menegaskan sebarang pengimportan barangan tanpa permit sah akan ditangani dengan tindakan penguatkuasaan tegas.
“Semua pengimport diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan biosekuriti negara.,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















