Perodua Axia berwarna biru disyaki milik kaki pancing yang ditinggalkan sejak lima hari lalu di kawasan Pantai Siring, Kampung Pulai Melaka mencetuskan kebimbangan penduduk setempat termasuk sekiranya pemancing berkenaan lemas dan gagal dikesan sehingga kini.

JASIN – Pemandu sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru dari Temerloh, Pahang yang meninggalkan kenderaan untuk keluar memancing di kawasan Pantai Siring, Kampung Pulai di sini ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, anak kepada pemilik kenderaan milik wanita berusia 60 tahun yang tinggal di Temerloh, Pahang telah pulang ke rumah dalam pukul  1 pagi tadi.

Menurutnya, ia selepas individu berkenaan keluar memancing di kelong berhampiran lokasi kereta ditinggalkan.

“Dia sudah balik sekitar 9 malam sebelum selamat sampai di rumah kira-kira 1 pagi tadi dan ia bukanlah kes jenayah. Kenderaan diparkir sementara ketika anak pemilik kenderaan dari Temerloh itu pergi memancing ikan di kelong.

“Isu ini timbul kerana keprihatinan penduduk terhadap keselamatan kawasan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut dilakukan anggota dari Balai Polis Merlimau malam tadi juga mendapati tiada kesalahan dilakukan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kes berkenaan tular di media sosial selepas penduduk meluahkan kebimbangan terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan lama dan dikhuatiri melibatkan kejadian lemas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast