Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan dilihat secara terasing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama, sekolah Arab serta sistem pendidikan lain yang tidak berteraskan pendidikan nasional.

Katanya, perdana menteri sebelum ini telah menjelaskan langkah awal kerajaan adalah memastikan semua sistem pendidikan berkenaan memenuhi prasyarat asas, khususnya pengajaran bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia berdasarkan kurikulum kebangsaan, sebelum sebarang keputusan lanjut berkaitan kemasukan ke universiti awam dibuat.

“Syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada UEC, malah, melibatkan semua institusi pendidikan yang berada di luar sistem pendidikan nasional.

“Pendekatan ini diambil bagi mengelakkan isu pendidikan dilihat daripada sudut satu kaum atau satu aliran semata-mata, sebaliknya mencari penyelesaian yang lebih komprehensif dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini hari ini.

Majlis peluncuran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan turut dihadiri barisan Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan juga akan melaksanakan penyelarasan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memandangkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada di bawah bidang kuasa KPM dan menjadi asas utama kepada sistem pendidikan tinggi negara.

“Segala sistem pendidikan yang sebelum ini tidak berteraskan pendidikan nasional perlu memenuhi kriteria ditetapkan terlebih dahulu, iaitu pengajaran bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia, sebelum langkah seterusnya berkaitan pengambilan pelajar ke universiti awam dapat dipertimbangkan,” tambah beliau.

Beliau turut menjelaskan, pengumuman perdana menteri itu tidak bermaksud UEC disekat sepenuhnya daripada laluan ke pengajian tinggi, sebaliknya ia merupakan langkah awal bagi membolehkan proses penilaian dan penyelarasan dilakukan secara sistematik.

Tambahnya, perkara sama turut melibatkan sekolah antarabangsa dan sekolah agama yang menggunakan sistem pendidikan sendiri serta tidak semestinya memperkenalkan subjek teras kebangsaan.

Dalam pada itu, Zambry memberi jaminan bahawa perdana menteri secara peribadi memberi perhatian serius terhadap perancangan pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Ia termasuk memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan masa depan negara.

“Ini merupakan pelan besar pendidikan negara. Apa yang kita rancang hari ini akan menentukan bentuk pekerjaan, bidang dan kualiti modal insan yang akan kita lahirkan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast