KUALA LUMPUR – Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. tidak diberi lanjutan masa bagi menyediakan laporan pentaksiran sebelum pendengaran taksiran ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat itu, berhubung pemilikan tanah Duta Enclave.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan syarikat itu selepas meneliti perkembangan kes yang telah mengambil mengambil masa yang lama sejak 1956.
Hakim Roslan Mat Nor kemudian mengekalkan tarikh pendengaran seperti yang telah ditetapkan sebelum ini pada 3, 10 dan 30 April ini.
Beliau berkata, mahkamah mengambil kira faktor plaintif (Semantan Estate) yang memerlukan dokumen tersebut untuk laporan penilaian lebih komprehensif bagi membolehkan penilaian pentaksiran sewajarnya.
Namun, mahkamah turut mempertimbang bantahan kerajaan yang menyatakan permohonan lanjutan masa pada saat akhir adalah tidak wajar dilakukan kerana jumlah bayaran faedah yang lebih besar perlu dibayar oleh kerajaan, sedangkan kelewatan bukan berpunca dari defendan.
“Demi keadilan bagi kedua-dua pihak dan mengambil kira faktor sejarah kes yang terlalu panjang berikutan kepelbagaian proses mahkamah, saya mendapati kes ini tidak dapat ditangguh lagi kerana ia akan memakan masa lebih lama,” kata beliau pada sesi pengurusan kes hari ini.
Terdahulu, peguam Janet Chai Pei Wing yang mewakili Semantan Estate berhujah, dokumen itu diperlukan bagi menunjukkan akses jalan dan infrastruktur yang akan membantu menentukan faktor yang akan dinilai di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Dokumen berkenaan adalah berkaitan dengan perkara yang wujud kira-kira 70 tahun lalu dan tidak tersedia. Kami perlu mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk memberikan kami dokumen tersebut.
“Apa yang kami minta ialah mekanisme, garis masa yang munasabah, dengan mengambil kira bahawa plaintif adalah entiti persendirian tanpa sebarang akses atau kawalan ke atas dokumen,” katanya sambil menambah bahawa ini bukan percubaan untuk melengahkan prosiding.
Peguam Kanan Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli bagi pihak kerajaan bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan tindakan yang dibuat pada saat akhir adalah tidak wajar kerana masa yang lebih panjang akan menyebabkan jumlah bayaran faedah lebih besar perlu dibayar oleh kerajaan.
Pada 13 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave atas nama syarikat berkenaan.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran.
Kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk pendengaran pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun tahu lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956 iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.
Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette
















