SYDNEY – Seorang peluncur telah digigit jerung, menjadikannya serangan keempat di sepanjang pesisir pantai New South Wales (NSW), Australia dalam tempoh kurang 48 jam.

Lelaki berusia 39 tahun itu “mengalami kecederaan di bahagian dada” selepas seekor jerung menggigit papan luncurnya di Mid North Coast pada pagi Selasa, menurut polis.

Beliau yang diberi rawatan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Kejadian itu menyusuli tiga serangan lain di Sydney sepanjang dua hari lalu.

Semua pantai di kawasan utara Sydney akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, kata polis.

Serangan-serangan ini berlaku selepas beberapa hari hujan lebat, yang sebelum ini menurut Penguasa Polis NSW, Joseph McNulty, mungkin telah mewujudkan “keadaan ribut sempurna” untuk serangan jerung.

Hujan membawa nutrien ke dalam air, yang boleh menarik jerung lebih dekat ke pantai.

Serangan pada hari Selasa berlaku berhampiran tapak perkhemahan Point Plomer, kira-kira 450 kilometer (279 batu) di utara Sydney.

Ketua Pegawai Eksekutif Surf Life Saving NSW, Steve Pearce berkata, peluncur tersebut “amat bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” lapor ABC.

“Kami sangat menasihatkan agar tiada sesiapa berenang atau meluncur berhampiran muara sungai kerana ia merupakan kawasan jerung berkumpul. Jika airnya keruh, saya akan berfikir dua kali sebelum masuk ke air,” kata Pearce

Seorang peselancar muda turut terselamat dalam keadaan hampir sama di Pantai Dee Why, Sydney pada Isnin, namun satu serangan jerung di Manly yang berdekatan beberapa jam kemudian menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan yang “mengubah hidup”.

Pada Ahad pula, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera parah selepas digigit jerung di sebuah pantai popular di Pelabuhan Sydney. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast