KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Thaipusam yang akan berlangsung awal Februari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari bermula 31 Januari sehingga 1 Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang yang akan beroperasi selama 24 jam melibatkan kos hampir RM1 juta.
“Tambang percuma itu akan berkuat kuasa dari 12 tengah malam hingga 11.59 malam dengan penumpang hanya perlu menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG).
“KTMB akan menyediakan tambahan perkhidmatan selama empat hari tiga malam bermula 30 Januari hingga 2 Februari ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 700,000 pengguna bagi memenuhi keperluan penumpang yang ingin menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026 di KL Sentral hari ini.
Tambah Anthony, operasi keseluruhan perkhidmatan itu meningkat sebanyak 23 peratus iaitu 609 trip berbanding tahun lalu bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Pelabuhan Klang- Tanjung Malim – KL Sentral.
“Perkhidmatan tren tambahan ini akan bermula selepas tren terakhir pada setiap hari dengan waktu perkhidmatan seawal jam 9.15 malam bagi laluan dari Stesen Pulau Sebang ke Batu Caves, dan seawal 10.25 malam bagi tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Batu Caves.
“Sebanyak 28 stesen KTMB akan beroperasi bagi membantu aliran keluar masuk penumpang di stesen serta membantu golongan yang memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita mengandung serta kanak-kanak,” ujarnya.
Katanya lagi, sebanyak lapan perkhidmatan tren (ETS) turut ditambah bagi laluan JB Sentral – Butterworth – Ipoh – KL Sentral masing -masing melibatkan dua trip yang akan beroperasi pada 29 Januari hingga 3 Februari dengan menawarkan 10,080 tiket.
Sementara itu, Anthony berkata, Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid KL dan Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Sebanyak 30 buah bas shuttle akan beroperasi di tiga laluan utama iaitu dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kg Batu ke Batu Caves dengan kekerapan setiap 10 minit bermula jam 6 pagi hingga 12 tengh malam pada 31 Januari.
“Di Pulau Pinang pula, bas shuttle percuma dari Jeti perkhidmatan feri ke Adventist menggunakan 12 buah bas dengan kekerapan antara 20 hingga 60 minit bergantung kepad ajadual perjalanan feri,” katanya.
“Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd turut menawarkan perkhidmatan feri percuma pada 31 Januari hingga 2 Februari (53 jam) dengan lanjutan perkhidmatan sehingga jam 3 pagi pada 2 Februari.
“Pengendali BAS.MY juga menyediakan perkhidmatan tambahan percuma di lima bandar iaitu Johor Bharu, Seremban, Ipoh, Kota Setar, dan Sungai Petani untuk memudahan penganut hindu ke lokasi lokasi perayaan,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, seramai 250 kakitangan KTMB akan bertugas sebagai persediaan awal dengan penambaikan aturan keluar penumpang serta susun atur bahagian menunggu bagi memastikan aliran ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves berjalan lancar. – MalaysiaGazette
















