SEOUL — Mahkamah di Korea Selatan pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun terhadap bekas Perdana Menteri Han Duck-soo atas pelbagai pertuduhan.
Ia termasuk penglibatan besarnya dalam pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden Yoon Suk Yeol pada Disember 2024.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati Han bersalah atas pertuduhan tersebut kerana beliau dianggap memainkan peranan penting dalam mewujudkan gambaran luaran seolah-olah satu mesyuarat Kabinet telah diadakan bagi memudahkan pengisytiharan undang-undang tentera.
Han, 76, merupakan bekas menteri Kabinet pertama yang menerima keputusan mahkamah peringkat rendah berhubung pertuduhan jenayah yang secara langsung berkaitan dengan undang-undang tentera.
Beliau telah ditahan serta-merta oleh mahkamah selepas keputusan itu diumumkan.
Minggu lepas, Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas Presiden, Yoon Suk-yeol atas beberapa pertuduhan serius.
Ia termasuk menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan waran tangkap susulan cubaan gagal beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember 2024.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mendapati Suk-yeol bersalah kerana menggunakan Perkhidmatan Keselamatan Presiden untuk menghalang polis melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan secara sah bagi menyiasat tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera.
Hakim utama berkata, Suk-yeol sudah menyalahgunakan kuasanya sebagai presiden demi kepentingan peribadi dengan mengarahkan pasukan keselamatan menghalang pelaksanaan waran sah.
Dalam prosiding yang disiarkan secara langsung di televisyen, beliau turut didapati bersalah memalsukan dokumen rasmi dan gagal mematuhi proses perundangan yang diwajibkan bagi pengisytiharan undang-undang tentera.
Keputusan itu adalah yang pertama daripada lapan perbicaraan jenayah yang sedang berjalan terhadap Suk-yeol, merangkumi dakwaan berkaitan dekri undang-undang tentera serta tuduhan lain. -AGENSI
















