Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR – Bukit Aman memanggil dan merakam percakapan Ketua Editor dan Sub Editor China Press sekitar 1 petang tadi bagi siasatan lanjut berhubung penterjemahan salah ke atas titah Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat pembukaan Parlimen, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Datuk M Kumar berkata, kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah bagi kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Jika disabitkan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 pula melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast