KUALA LUMPUR – Al Kauthar Eduqids (AKE – HQ) menjalankan siasatan dalaman susulan insiden penderaan yang dikaitkan dengan pusat taska berkenaan.
AKE dalam kenyataan berkata, pihaknya dalam masa yang sama sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Salinan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kejadian juga telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Selain itu, AKE berkata, pihaknya juga telah mengaktifkan saluran aduan rasmi ([email protected]) bagi orang ramai sekiranya menyalurkan laporan memgenai insiden yang sama dimana-mana premis di bawah jenama AKE.
Sementara itu, AKE merayu semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.
“AKE – HQ sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi AKE – HQ,” tambahnya.
Semalam, Caprice menerusi akaun Instagramnya memuat turun video pendedahan seorang bekas pelatih sebuah pusat taska di Shah Alam yang mendakwa kanak-kanak autisme dikurung di bilik stor.
Selain itu, turut dikongsikan bayi menangis teresak-esak kelihatan dipaksa menyusu.
Video berkenaan kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengasuh kurung kanak-kanak autisme, Caprice dedah penderaan di sebuah taska di Shah Alam
















