Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima Buku Rancangan Pendidikan Malaysia dan Buku Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 20 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 merupakan satu dokumen strategik nasional yang menyediakan hala tuju jelas kepada institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh akses pendidikan, meningkatkan kualiti pembelajaran serta melahirkan graduan yang berdaya saing, beretika dan berjiwa insan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, penekanan Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap pembinaan graduan sebagai nation-builders, integrasi teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) serta peluasan akses pendidikan sejajar dengan aspirasi dan perancangan strategik universiti.

“UMT komited untuk menyokong pelaksanaan RPTM secara inklusif dengan memastikan peluang pendidikan yang lebih luas kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang, di samping memperkukuh nilai kemanusiaan, kepimpinan dan daya tahan dalam kalangan graduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan RPTM 2026–2035 katanya, diyakini mampu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara, justeru UMT komited menjadi rakan strategik KPT dalam merealisasikan agenda reformasi pendidikan tinggi demi manfaat pelajar, masyarakat dan negara.

Tambahnya, UMT turut menyokong seruan agar institusi pendidikan tinggi berperanan sebagai pemangkin pembangunan negara melalui kerjasama strategik dengan industri, agensi kerajaan, komuniti dan rakan antarabangsa.

Seiring hala tuju RPTM, UMT juga katanya bertekad dalam melahirkan graduan dan menjalankan aktiviti penyelidikan yang mampu membina masa depan negara.

Ia selaras pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2026 bagi penubuhan Teaching Shipyard TVET Marine untuk memperkukuh TVET maritim sejajar hala tuju negara sebagai usaha mengukuhkan sektor ekonomi biru. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast