Bekas Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustaffa dan Bekas Ketua Bahagian Bersatu Pengerang, Mohamad Faizal Asmar serta yang lain menunjukkan dokumen pada sidang media mengenai pemecatan mereka sebagai ahli Bersatu di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 JANUARI 2026

PUTRAJAYA — Enam bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyiasat pemecatan mereka yang didakwa tidak mematuhi perlembagaan parti.

Mereka menyerahkan surat bantahan dan aduan kepada agensi itu supaya satu siasatan dijalankan terhadap prosedur pemecatan mereka itu.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustaffa berkata, mereka yang terlibat tidak mempertikaikan pemecatan sebagai satu bentuk tindakan disiplin namun mempersoalkan proses yang dilihat mempunyai kelompongan ketara.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustaffa bercakap pada sidang media mengenai pemecatannya sebagai ahli Bersatu di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 JANUARI 2026

Ia khususnya apabila pemecatan dibuat secara serta-merta tanpa melalui saluran rayuan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan Bersatu.

Menurut beliau, berdasarkan perlembagaan parti, mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin sepatutnya diberi peluang untuk merayu kepada Lembaga Rayuan sebelum keputusan muktamad dibuat.

Namun surat pemecatan yang diterima menunjukkan mereka terus disingkirkan tanpa sebarang ruang untuk membela diri.

“Pemecatan itu berlaku seolah-olah on the spot. Kami tidak diberi peluang merayu walaupun perlembagaan parti dengan jelas memperuntukkan kewujudan lembaga rayuan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat aduan kepada ROS di sini hari ini.

Shukor berkata, keadaan itu lebih membimbangkan apabila status keahlian mereka juga didapati telah dikeluarkan daripada senarai keahlian parti, seolah-olah mereka tidak lagi mempunyai sebarang hak untuk membuat rayuan.

Tambahnya, kebanyakan mereka yang dipecat merupakan mantan ketua bahagian dan kesalahan yang didakwa dilakukan tidak terlalu serius sehingga wajar dikenakan tindakan pemecatan serta-merta.

“Kami melihat kesalahan itu sepatutnya boleh diperbaiki demi kelangsungan parti namun tindakan yang diambil seolah-olah ada unsur dendam dan dirancang untuk menyingkirkan kami sepenuhnya,” dakwanya.

Sehubungan itu, beliau berharap ROS dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pemecatan tersebut bagi memastikan ia selaras dengan perlembagaan parti serta prinsip keadilan, selain memperbetulkan sebarang salah laku atau kelemahan dalam pelaksanaannya.

Sementara itu seorang lagi ahli Bersatu yang dipecat, Mohd Faizal Asmar berkata, tindakan Bersatu mengeluarkan nama beberapa ahlinya daripada senarai keahlian walaupun masih berada dalam tempoh rayuan disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak mengikut prosedur sewajarnya.

Beliau yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Pengerang menegaskan, surat pemecatan yang diterima menyatakan mereka dibenarkan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari namun pada masa sama nama mereka telah digugurkan daripada keahlian parti.

“Apabila diberi tempoh rayuan, sepatutnya kami masih dianggap sebagai ahli. Tetapi bila nama kami telah dikeluarkan daripada senarai keahlian, bagaimana rayuan itu boleh dibuat…keadaan ini amat pelik,” ujar.

Beliau turut mempersoalkan tindakan parti yang mengeluarkan mereka daripada keahlian tanpa sebarang perbincangan atau penjelasan rasmi berhubung sebab-musabab pemecatan tersebut.

“Tiada pertemuan, tiada alasan kukuh diberikan kepada kami. Tiba-tiba sahaja nama kami digugurkan walaupun ruang untuk merayu kononnya masih ada,” ujarnya.

Tambah Mohd Faizal, situasi itu menimbulkan tanda tanya mengenai ketelusan dan keadilan proses disiplin parti sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast