KUALA LUMPUR – Peguam Negara telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes Teoh Beng Hock sebagai No Further Action (NFA) setelah meneliti keseluruhan fakta dan keterangan yang dikumpul.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berdasarkan asas perundangan utama keputusan itu kerana bukti sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu di mahkamah.
Jelas beliau, prosedur itu mengikut standard pembuktian jenayah yang ditetapkan iaitu melampaui keraguan munasabah.
“Walaupun siasatan rapi telah dijalankan, elemen-elemen untuk mengaitkan individu tertentu dengan kesalahan jenayah secara spesifik tidak dapat dipenuhi berdasarkan keterangan yang ada buat masa ini.
“Kertas siasatan yang telah dilengkapkan tersebut telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Peguam Negara pada 14 Mei 2025,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang minta Menteri Dalam Negeri menyatakan Jabatan Peguam Negara berhubung alasan dan asas perundangan yang digunakan dalam mengklasifikasikan kes kematian Beng Hock sebagai NFA dan bila laporan atau dapatan berhubung siasatan kes akan diumumkan kepada umum.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, laporan siasatan tersebut tidak boleh disiarkan
kepada umum dan hanya boleh dikongsikan keputusan kes kepada pihak
yang berkepentingan sahaja. – MalaysiaGazette
















