Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 ketika di Pusat Konvensyen Antarabagsa (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR –  Keputusan membenarkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027 tidak akan menjejaskan laluan persekolahan sedia ada yang bermula pada umur tujuh tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dari sudut struktur pendidikan, pelaksanaan itu juga tidak akan mengubah tempoh persekolahan murid.

“Sama ada murid memulakan Tahun 1 pada umur enam atau tujuh tahun, semua murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah, selaras dengan struktur pendidikan sedia ada.

“Tiada penambahan tahun persekolahan di peringkat rendah dan tiada kesan negatif terhadap keseluruhan laluan pendidikan murid,” ” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai rasional membenarkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada umur 6 tahun.

Fadhlina menambah, rasional utama penawaran kemasukan awal ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia dari segi perkembangan kognitif, emosi dan pembelajaran untuk memulakan pendidikan formal lebih awal.

Beliau berkata, kesediaan itu tidak ditentukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya akan dibuat berdasarkan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang layak dan bersedia sahaja ditawarkan kemasukan ke Tahun 1 pada umur enam tahun.
Katanya, elaksanaan kanak-kanak berumur enam tahun Tahun Satu tidak dijadikan sebagai perintis, sebaliknya secara berfasa dan berlandaskan perancangan rapi mengikut perbincangan dengan pihak berkaitan.
“Anak kita bukan untuk ujian makmal ataupun tikus makmal ia adalah dasar yang telah pun kita bincangkan, bahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast