KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM12.4 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan sosioekonomi masyarakat luar bandar meningkat 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi lima kluster utama, iaitu infrastruktur asas, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian, bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan wilayah serta pedalaman.
Menurut beliau, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk memperkukuh prasarana asas meliputi pembinaan dan naik taraf jalan kampung, bekalan air serta elektrik, selain pemasangan panel solar dan lampu cekap tenaga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
“Usaha itu bertujuan meningkatkan keterhubungan dan akses kepada utiliti asas, sekali gus mengurangkan kos logistik serta mengukuhkan daya saing wilayah secara menyeluruh.
“Bagi kluster ekonomi dan keusahawanan, kementerian memberi tumpuan kepada penciptaan pendapatan mampan melalui pelaksanaan program seperti Desa Kirana yang setakat Januari 2026 telah membangunkan 25 desa bagi mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti dalam sektor pelancongan, kraf tangan dan hospitaliti.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berhubung strategi pemanfaatan peruntukan Belanjawan 2026 serta mekanisme pemantauan bagi memastikan projek di kawasan pedalaman memberikan impak tinggi kepada pendapatan isi rumah.
Ahmad Zahid menambah, kepentingan pembangunan modal insan menerusi program Tenaga Kerja Digital Luar Bandar (RDW) yang melatih belia luar bandar dengan kemahiran digital bagi membolehkan mereka bekerja secara bebas atau jarak jauh.
“Inisiatif ini disokong oleh 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) yang dilengkapi internet berkelajuan tinggi bagi memastikan golongan belia luar bandar mampu bersaing dalam ekonomi digital serta meningkatkan mobiliti sosial mereka.
“KKDW turut komited memastikan projek di kawasan terpencil, termasuk di Sabah dan Sarawak, disiapkan mengikut jadual menerusi mekanisme pemantauan berterusan, laporan berkala dan audit keberkesanan.
“Penyelarasan rapat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana turut diperkukuh bagi memastikan setiap projek yang dipilih berimpak tinggi serta memenuhi keperluan sebenar komuniti setempat,” katanya. – MalaysiaGazette
















