Tangkap layar daripada video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid sedang menonton video lucah dalam pejabat masjid di Bukit Baru, Melaka, Disember tahun lalu.

MELAKA – Imam Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru di sini menegaskan kes video tular seorang lelaki didakwa setiausaha masjid sedang menonton video lucah dalam pejabat masjid bukan dirakam untuk disebarkan sebagai tatapan umum.

Muhammad Adhan Adnan, 26, berkata, video tersebut diambil semata-mata sebagai rujukan dalaman kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan bukan untuk serangan peribadi mahupun bermotifkan politik.

Bagaimanapun menurut beliau, video berkenaan telah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Isu video yang viral itu bukan saya yang sebar. Video tersebut diambil untuk rujukan AJK dan JAIM sahaja, tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.

“Bagi yang mengecam saya kerana tidak tahu cerita sebenar, saya maafkan semuanya. Lain kali, jangan lupa tabayyun dulu sebelum komen yang bukan-bukan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengesahkan satu surat peletakan jawatan yang tular adalah ditulisnya dan kandungan terbabit adalah benar.

Surat berkenaan memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai Imam 3 Masjid Al-Ehsan Bukit Baru berkuat kuasa 21 Januari 2026.

Dalam surat bertarikh sama itu, beliau menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas menerima arahan daripada Pengerusi masjid berhubung isu yang sedang berlaku berkaitan dakwaan salah laku seorang individu di dalam masjid.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan masjid yang didakwa gagal mengambil tindakan tegas walaupun mendakwa terdapat bukti berhubung perbuatan menonton video lucah di dalam masjid menggunakan peralatan masjid pada 27 Disember 2025.

Surat berkenaan juga menyebut bahawa beliau berasa terkesan apabila tiada pembelaan diberikan kepadanya, malah didakwa berlaku cubaan memutar belit cerita serta tohmahan terhadap dirinya selepas isu itu dibangkitkan.

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat memaparkan beberapa individu berjalan dari ruang solat menuju ke pejabat masjid berkenaan.

Rakaman menunjukkan, seorang lelaki didakwa setiausaha masjid yang turut dikaitkan dengan sebuah parti politik sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja.

Individu berkenaan kemudian mengetuk tingkap dan pintu pejabat sebelum dibuka lelaki berkenaan namun menafikanmelakukan sebarang perbuatan salah.

Lelaki yang merakam video berkenaan memaklumkan tujuan sebenar membuat rakaman adalah sebagai bukti kejadian yang berlaku pada jam 9.13 pagi 27 Disember lalu.

Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib suspek dan sepatutnya diselesaikan mengikut saluran undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast