KUALA LUMPUR – UMNO perlu mewujudkan jawatan kuasa pemantau bagi memastikan inisiatif Rumah Bangsa benar-benar menyatupadukan orang Melayu yang berpecah-belah kerana perbezaan fahaman politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Rumah Bangsa tidak boleh dilihat sebagai inisiatif ‘syok sendiri’ semata-mata mahu menyaingi Muafakat Nasional (MN) dan payung besar.
“Kita kena mewujudkan satu jawatan kuasa pemantau supaya Rumah Bangsa benar-benar dilaksanakan dan memberi kesan kepada penyatuan ummah khususnya orang Melayu Islam.
“Bila ada pelaksanaan, sudah tentu ada keputusan, adakah langkah diambil betul-betul membuahkan hasil, bukan syok sendiri.
“Adakah inisiatif ini boleh diterima rakyat, sejauh mana sambutan daripada semua pihak. Jadi kena ada jawatankuasa pemantau,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mengusulkan penubuhan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.
Ahmad Zahid juga mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.
Ketika ditanya tentang kepentingan Rumah Bangsa, Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, ia salah satu usaha untuk mengembalikan kuasa orang Melayu di negara ini.
“Kalau kita tengok ketika era kegemilangan UMNO, menterinya UMNO, timbalan menterinya UMNO. Setiap pemimpin yang lahir daripada UMNO akan menjadi ahli Parlimen dan Senator.
“Bila masuk Kabinet, perjuangan mereka sama iaitu Melayu dan Islam, kemudian baru disusuli bangsa dan agama lain.
“Sekarang ini, yang duduk dalam Kabinet pun boleh berselisih bahu, apatah lagi yang di luar kabinet. Jadi, fokus utama kita adalah untuk memacu parti UMNO ni, untuk kembali dominan, seperti dahulu,” katanya.
Selain itu, Fariz juga berkata, matlamat penyatuan ummah menerusi Rumah Bangsa perlu direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan tiada lagi orang Melayu dan Islam tercicir.
“Dalam kita menggerakkan penyatuan Melayu Islam ni, tapi susuli dengan bangsa dan agama lain, akhirnya, tiada sesiapa pun yang akan tercicir.
“UMNO kena pastikan orang Melayu dan Islam tidak lagi dipinggirkan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keistimewaan kepada Melayu dan Bumiputera, selain Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, orang Melayu perlu kembali menerajui pentadbiran negara, sesuai dengan sejarah Malaysia yang asal usulnya adalah Tanah Melayu.
“Malaysia adalah tanah Melayu, tanah asal kita, Jadi Melayu Islam ini harus menjadi pelopor, harus menjadi teras tunjang, teras utama dalam setiap perkara yang kita lakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















