Isteri, Merli Zaifa Abdul Sani, 45, menyiram air ke pusara suaminya, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2026.

IPOH – Jenazah Pegawai Kanan VAT 69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, selamat dikebumikan pada jam 6.10 petang, di sini pada Jumaat

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan di Kampung Bakar Bata, di sini.

Terdahulu jenazah Khairil Azhar Selamat tiba di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini kira-kira jam 3.20 menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis C130 dari Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Jenazah kemudiannya disolatkan kira-kira 500 jemaah yang diimamkan anak lelaki arwah di Masjid Saidina Abu Bakar Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5.20 petang.

Suasana pilu memenuhi segenap ruang Masjid Saidina Abu Bakar apabila ahli keluarga dibenarkan menatap dan memberi penghormatan terakhir kepada arwah sebelum jenazah disembahyangkan.

Anak, Zhakil Iman Khairil Azhar, 18, tidak dapat menahan sebak ketika menyiram air ke pusara ayahnya, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2026.

Jenazah kemudiannya tiba di tanah perkuburan pada jam 5.50 petang dan pengebumian dijalankan mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menghargai jasa dan pengrobanan beliau dalam pasukan keselamatan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Merli Zaifa Abdul Sani, 41 bersama dua anak lelaki Zhairif Iman, 19 serta Zhakil Iman, 18 dan seorang anak perempuan Merli Dhiya, 11.

Pegawai VAT 69 Komando mengusung jenazah Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek Tanjung Rambutan, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2026.

Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Datuk M. V. Srikumar; Komander Unit Tindakhas (UTK) Senior Asisten Komisioner Hisham Mahmood dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof.

Terdahulu, media melaporkan Khairil Azhar, 40-an, tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking dalam kejadian sekitar jam 10.25 pagi, pada Khamis.

Allahyarham ketika itu sedang mengikuti latihan menyelam di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast