Jenazah Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau ke ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh, Perak. Foto FB PGA

KUALA LUMPUR – Jenazah Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, pegawai pasukan VAT 69 Komando (VAT 69) yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, semalam dijangka dikebumikan di Tanjung Rambutan, Perak, petang ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Pasukan Gerakan Am- PGA, jenazah allahyarham telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau, Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis C130 ke Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh, Perak.

Timbalan Pengarah KDNKA PGA, DCP Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi mengiringi penghantaran pulang jenazah di Lapangan Terbang Tawau.

Jenazah dijangka tiba di PLPGU, Ipoh jam 3 petang dan akan disambut dengan istiadat kepolisan

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar Briged Utara PGA untuk disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakar Bata Tanjung Rambutan mengikut istiadat kepolisan

Difahamkan Allahyarham Khairil Azhar banyak terlibat dengan pelbagai operasi khas dan sulit termasuk Ops Daulat yang terjadi pada tahun 2013.

Allahyarham yang juga jurulatih payung terjun banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dalam pertandingan payung terjun juga.

Sebelum ini, media melaporkan Khairil Azhar, 40-an, tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking dalam kejadian sekitar jam 10.25 pagi, semalam.

Allahyarham ketika itu sedang mengikuti latihan menyelam di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Khairil bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 difahamkan tiba di jeti pulau berkenaan sekitar jam 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.

Maklumat kecemasan diterima tidak lama kemudian daripada sebuah resort berhampiran yang memaklumkan pegawai polis terbabit, yang juga Troop Commander 9, Skuadron C, 69 Komando berpangkalan di Ulu Kinta, Perak, tidak sedarkan diri.

Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) segera diberikan oleh kakitangan resort bersama anggota VAT 69 yang berada di lokasi.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi latihan sebelum dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast