Peguam, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih yakin dan percaya semua wang yang pernah diterima beliau sebelum ini, termasuk RM42 juta yang membawa kepada sabitan dalam kes SRC International adalah derma dari Arab Saudi.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, laporan media telah disalah tafsir dan tidak tepat dalam melaporkan keterangan anak guamnya semasa perbicaraan saman sivil SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Dakwa Shafee, media telah melaporkan seolah-olah Najib kini mengetahui bahawa RM42 juta itu bukan derma Arab, sebaliknya berasal secara tidak langsung daripada SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui kontraktor tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Hakikatnya, penjelasan hari ini jelas bahawa Datuk Seri Najib sejak awal hanya mengetahui wang tersebut sebagai derma dari Arab Saudi.

“Pengetahuan beliau mengenai perkara ini tidak pernah berubah sejak dahulu hingga ke hari perbicaraan,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah sebentar tadi.

Untuk makluman, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang memberi keterangan dalam prosiding saman sivil yang difailkan SRC dan Gandingan Mentari bagi menuntut semula RM42 juta yang pernah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Tambah beliau, anak guamnya tidak pernah mempunyai sebarang maklumat lain mengenai sumber wang tersebut selain kepercayaan ianya merupakan sumbangan daripada Raja Abdullah dari Arab Saudi.

Menurut Shafee, semasa disoal balas oleh peguam SRC, Najib sekadar menjawab berdasarkan keputusan mahkamah dalam kes jenayah SRC yang telah memutuskan wang berkenaan bukan derma Arab, namun itu tidak bermakna beliau mengubah kepercayaan peribadinya.

“Jika berdasarkan keputusan mahkamah, itu perkara lain. Tetapi dari segi pengetahuan beliau sendiri, hingga ke hari ini, beliau percaya semua wang yang diterimanya adalah derma dari Arab Saudi,” tegasnya.

Semalam, Najib dilaporkan bersetuju dengan peguam SRC, Kwan Will Sen bahawa berdasarkan maklumat yang diketahui kemudian, RM42 juta itu tiada kaitan dengan derma Arab.

Bagaimanapun, laporan sama turut menyatakan Najib menegaskan bahawa pada waktu wang itu diterima, beliau percaya sepenuhnya ia merupakan sumbangan dari Arab Saudi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast