BANGI – Sukar untuk Malaysia memberikan dukungan awal kepada Lembaga Keamanan untuk Semenanjung Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi menamatkan konflik di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya berpendirian tiada jaminan yang jelas buat masa ini mengenai nasib rakyat Gaza dan Palestin sekiranya lembaga itu ditubuhkan, selain daripada usaha menghentikan serangan ganas di wilayah tersebut.
“Kita agak sukar (untuk sokong Lembaga Keamanan) melainkan ada jaminan yang betul-betul baik dan tegas soal rakyat Gaza dan Palestin, pengiktirafan, menghentikan sama sekali serangan ganas yang biadab oleh rejim Israel dan memulihkan bantuan kemanusiaan ini belum dilakukan.
“Jadi, kita sukar untuk memberikan dukungan awal,” katanya dalam sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Beliau menekankan bahawa Malaysia sentiasa komited dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang sebarang tindakan yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan mereka.
Sebagai negara anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Malaysia telah beberapa kali menggesa agar konflik Israel-Palestin diselesaikan melalui pendekatan diplomatik yang adil dan saksama.
Konflik di Gaza kembali memuncak selepas beberapa siri serangan udara oleh Israel yang disasarkan ke atas kawasan kediaman dan infrastruktur awam, menyebabkan kemusnahan meluas dan ribuan rakyat Palestin terjejas.
Sementara itu, Lembaga Keamanan yang dicadangkan AS itu dikatakan bertujuan untuk memediasi gencatan senjata dan menyalurkan bantuan kemanusiaan, tetapi masih menimbulkan keraguan di kalangan beberapa negara termasuk Malaysia, kerana tiada mekanisme jelas untuk memastikan keselamatan rakyat Palestin.
Trump pada September tahun lalu mengumumkan pelan 20 perkara yang menggariskan rangka kerja gencatan senjata merangkumi pembebasan tawanan Israel, pengunduran Israel dari Gaza, pembentukan pentadbiran teknokrat, serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, selain tuntutan supaya Hamas melucutkan senjata.
Israel telah membunuh lebih 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,300 yang lain dalam serangan kejam sejak Oktober 2023 yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Walaupun gencatan senjata bermula pada 10 Okt lepas, Israel terus melancarkan serangan yang mengorbankan 451 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – MalaysiaGazette
















