Fauziah Latiff

KUALA LUMPUR – Selepas empat dekad mengukir nama dalam landskap muzik tanah air, penyanyi legenda Fauziah Latiff bakal mengubati kerinduan peminat menerusi konsert solo berskala besar pertamanya pada 9 Mei depan.

Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan tahun ini.

Fauziah, 56, berkata, keputusan tersebut dibuatnya selepas membuat pertimbangan selama hampir sebulan sebelum bersetuju.

Jelasnya, faktor utama adalah keyakinannya terhadap semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan penganjur.

“Cara mereka bekerja sangat bersungguh. Dari segi seni dan produksi, semuanya pantas serta penuh kajian. Kita berbincang secara terbuka, saling memberi idea, mereka terima idea dan bincang idea saya…itu yang saya hargai,” katanya selepas sidang media mengenai konsert tersebut baru-baru ini.

Terdahulu, konsert berkenaan dianjurkan oleh IDEATELIER sebagai penghormatan terhadap perjalanan seni pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu yang merentas generasi sejak era 1980-an.

Penghibur TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)1992 dan 1993 itu berkata pemilihan lagu dalam konsert berkenaan akan membawa penonton menelusuri emosi serta memori lama yang dekat dengan perjalanan hidup mereka.

“Bila nyanyi lagu-lagu lama ini, secara automatik kita akan ingat balik masa dulu, banyak komunikasi emosi di situ dan kita raikan bersama,” katanya.

Menurutnya, setiap lagu akan dihidupkan menerusi susunan muzik baharu namun masih mengekalkan ‘roh’ asal karya,” tambahnya pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast