Oleh: Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah
PENGUMUMAN kerajaan untuk mengecualikan yuran pengajian bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) di seluruh Universiti Awam (UA), Politeknik, dan Kolej Komuniti wajar disambut dengan tangan terbuka. Keputusan ini bukan sekadar satu berita gembira, malah merupakan satu manifestasi penting dalam peralihan paradigma sosial kita. Ia menandakan kesediaan negara untuk bergerak daripada pendekatan berasaskan kebajikankepada pendekatan berasaskan hak dan keadilan social.
Langkah ini menghantar isyarat jelas kepada masyarakat bahawa pendidikan tinggi bukanlah satu keistimewaan eksklusif untuk golongan tertentu, sebaliknya adalah hak fundamental yang mesti dilindungi untuk setiap warganegara, tanpa mengira upaya fizikal, mental, atau keterbatasan deria.
Realiti kos tersembunyi
Bagi keluarga yang mempunyai anak istimewa, inisiatif ini sememangnya memberi sedikit ‘nafas’ lega. Namun, kita perlu menyelami realiti ekonomi keluarga OKU dengan lebih mendalam. Kos membesarkan dan mendidik anak OKU jauh lebih tinggi berbanding anak tipikal. Yuran pengajian hanyalah ‘hujung aisberg’ dalam struktur kos pendidikan mereka.
Secara realitinya, kos ini sering kali berganda dengan keperluan terapi berkala, rawatan perubatan susulan, alat bantuan khas seperti kerusi roda bermotor atau alat pendengaran, serta kos pengangkutan yang spesifik. Justeru, pengecualian yuran ini harus dilihat sebagai langkah pengurangan beban, bukannya penyelesaian masalah kemiskinan pelajar OKU sepenuhnya. Ia memberi isyarat bahawa pelajar OKU diiktiraf sebagai sebahagian integral dalam ekosistem modal insan negara, namun sokongan kewangan lain masih amat diperlukan.
Akses rormal atau akses bermakna
Walau bagaimanapun, di sebalik euforia pengumuman ini, kita perlu bersikap jujur dan kritis. Adakah pendidikan percuma semata-mata sudah cukup menjamin kejayaan pelajar OKU? Di sinilah kita perlu membezakan antara ‘akses formal’ dan ‘akses bermakna’.
Akses formal bermaksud pintu universiti terbuka untuk mereka mendaftar masuk secara percuma. Akses bermakna pula menuntut persoalan yang lebih mendalam: Adakah mereka mampu mengikuti pembelajaran dengan berkesan? Mampukah mereka bertahan dalam sistem yang sering kali tidak direka untuk mereka?
Ramai pelajar OKU tercicir di pertengahan jalan bukan kerana tidak mampu membayar yuran, tetapi kerana ‘lemas’ dalam persekitaran yang tidak inklusif. Bahan pengajaran yang tidak mesra akses, fasiliti fizikal yang menyukarkan mobiliti, kurangnya empati dan penerimaan warga kampus serta kemahiran pedagogi inklusif dalam kalangan pensyarah
adalah tembok penghalang sebenar.
Tanpa persekitaran akademik yang kondusif dan sistem sokongan psikososial yang konsisten dengan pengukuhan pusat sokongan OKU di institusi, dasar pendidikan percuma ini berisiko menjadi sekadar kosmetik—cantik di atas kertas, tetapi gagal dalam
pelaksanaan.
Jangan korbankan BKOKU
Satu lagi kebimbangan kritikal yang wajar diberi perhatian serius ialah nasib Bantuan Kewangan OKU (BKOKU). Timbul kegusaran dalam komuniti OKU bahawa apabila yurantelah dikecualikan, bantuan sara hidup ini mungkin disemak semula, dikurangkan, atau dianggap tidak lagi relevan.
Kerajaan perlu berhati-hati agar tidak melakukan ‘trade-off’ dasar dalam hal ini. Yuran pengajian hanyalah satu komponen kecil dalam keseluruhan kos pendidikan OKU. BKOKU selama ini berfungsi sebagai talian hayat untuk menampung kos sara hidup, makan minum, penginapan, dan penyelenggaraan peralatan khas pelajar.
Bagi pelajar daripada keluarga B40 dan M40, BKOKU adalah penentu sama ada mereka dapat meneruskan kehidupan di kampus atau tidak. Pengecualian yuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk mengecilkan bantuan ini. Sebaliknya, BKOKU perlu diperkasakan selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa.
Pendidikan sebagai jambatan kerjaya
Akhir sekali, visi pendidikan untuk OKU tidak boleh terhenti setakat di pentas konvokesyen. Pendidikan adalah jambatan kepada kehidupan berdikari dan penyertaan ekonomi. Tanpa pelan transisi yang jelas ke alam pekerjaan, segala pelaburan pendidikan percuma ini berisiko menjadi sia-sia.
Graduan OKU hari ini masih berdepan stigma, diskriminasi, dan ketidakpercayaan di pasaran kerja. Tanpa sistem sokongan berstruktur seperti perkhidmatan job coaching, adaptasi tempat kerja, dan insentif penggajian yang lebih agresif kepada majikan, graduan OKU berisiko kembali menjadi golongan yang bergantung harap kepada bantuan keluarga atau negara, biarpun memiliki segulung ijazah. Kita tidak mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya tetapi terpinggir ekonominya.
Tuntasnya, dasar pengecualian yuran ini akan lebih berkesan jika disepadukan dalam satu ekosistem sokongan yang holistik—bermula daripada akses pendidikan, sokongan pembelajaran, bantuan sara hidup, hinggalah kepada transisi ke dunia pekerjaan.
Pengumuman ini adalah permulaan yang sangat baik, namun keadilan pendidikan tidak diukur pada nilai ringgit yuran yang dimansuhkan semata-mata. Ia diukur pada sejauh mana sistem kita mampu memartabatkan pelajar OKU untuk belajar, berkembang, dan akhirnya menyumbang kembali kepada ekonomi negara dengan bermaruah.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
















