Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR  – Tindakan menyebar, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran adalah perbuatan menyalahi undang-undang dan tidak diterima dalam apa jua keadaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perbuatan itu termasuklah alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri serta maklumat keluarga di platform dalam talian.

“Perbuatan itu dikenali sebagai doxing dan siasatan boleh dibuat di bawah beberapa peruntukan sedia ada dan  tidak terhad.

“Antaranya Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 10 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 507E, 507F(1) atau 507F(2) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu di platform digital.

Tegas Mohd Khalid, prinsip perlindungan data peribadi adalah terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan atau situasi semasa .

“Malah tindakan menyebarkan maklumat peribadi tidak boleh dijadikan alasan bagi tindakan balas denda, ugutan atau gangguan dalam talian.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam penggunaan platform digital.

“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast