KUALA LUMPUR – Seorang pembantu operasi klinik meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas sebelum digilis dalam kejadian Kilometer 405.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian sekitar jam 6.20 pagi itu, mangsa merupakan wanita berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM ADXT dalam perjalanan dari Rawang ke Sik, Kedah cuba memotong kenderaan di lorong tengah.
“Bagaimanapun, motosikal mangsa hilang kawalan dan tercampak ke tengah jalan, kemudian sebuah lori dan kereta datang dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum menggilis mangsa.
“Kemudian, datang lagi sebuah motosikal jenis BMW ditunggang lelaki berusia 62 bersama pembonceng cuba mengelak, namun telah dilanggar sebuah van,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat wanita itu telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala penunggang dan pembonceng motosikal jenis BMW yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Polis kini sedang mengesan dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















