KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan esok sama ada kerajaan dibenar menangguhkan pembayaran ganti rugi melebihi RM37 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh.
Hakim Mahazan Taib menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid yang mewakili kerajaan dan peguam Datuk Jerald Gomez bagi pihak isteri Raymond, Susanna Liew.
Ketika berhujah pada 22 Januari lalu, Nurul Farhana berkata, kerajaan memohon penangguhan atas alasan kes berkenaan melibatkan jumlah wang awam yang besar.
Beliau berkata, pembayaran tersebut juga memerlukan penyelarasan antara beberapa agensi kerajaan bagi menyalurkan dana ke dalam akaun amanah sekiranya pembayaran dibuat.
Tegas Nurul Farhana, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam memfailkan permohonan penangguhan itu kerana ia dikemukakan selepas kerajaan memperoleh semua dokumen mahkamah yang diperlukan.
Bagaimanapun, Jerald yang mewakili keluarga Raymond membantah permohonan penangguhan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk menafikan keluarga itu mendapatkan hasil daripada tindakan undang-undang yang diambil mereka.
“Permohonan untuk menangguhkan penghakiman sepatutnya dibuat serta-merta selepas Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya tahun lalu,” katanya, sambil menambah bahawa rayuan telah difailkan dalam tempoh 24 jam selepas itu.
Bagaimanapun, permohonan penangguhan hanya difailkan pada 17 Disember tahun lalu.
Pada 5 November tahun lalu, Hakim Datuk Soo Tiang Joo memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi kepada keluarga Raymond kerana terlibat dalam penculikannya, lapan tahun lalu.
Beliau mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya. Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.
Beliau turut memerintahkan polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymond keluar dari keretanya.
Isterinya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis kerana terlibat atas kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.
Pada 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Raymond dan seorang aktivis, Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman. – MalaysiaGazette
















