Steven Sim (kanan) bertemu dengan Selvestone bagi menyampaikan sumbangan.

BUKIT MERTAJAM – Nasib seorang pemuda yang kematian kedua-dua ibu bapa pada tahun lalu mendorong Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim menghulurkan sumbangan RM20,000 bagi memastikan pengajiannya tidak terganggu.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada S. Selvestone, 25, seorang anak tunggal dari Jawi, Nibong Tebal, yang sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pentadbiran Perniagaan di Universiti Cyberjaya.

Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Selvestone kehilangan bapanya akibat masalah hati sebelum ibunya meninggal dunia kerana barah dalam tempoh berasingan pada tahun lalu.

Katanya, kehidupan pemuda itu sememangnya serba kekurangan sejak dahulu, namun kehilangan kedua-dua orang tua menyebabkan Selvestone kini terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri.

“Selvestone yang bersifat pendiam telah bekerja sejak berusia 15 tahun sebagai pengawal keselamatan bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, pemuda itu turut menabung hasil titik peluh sendiri bagi tujuan pendidikan kerana menyedari keadaan ibu bapanya yang uzur serta tidak mahu membebankan mereka.

“Malah sehingga kini, dia masih bekerja sebagai penghantar p-hailing dengan meluangkan masa berjam-jam di atas motosikal selepas tamat kelas setiap hari termasuk pada hujung minggu,” katanya hari ini.

Tambah Steven Sim, selain menanggung yuran pengajian dan sewa rumah di ibu negara, Selvestone juga membantu perbelanjaan sepupu perempuannya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di rumah keluarga mereka.

“Atas dasar keprihatinan, saya tampil membantu bagi memastikan pemuda berkenaan dapat menamatkan pengajian yang dijadualkan selesai pada Oktober depan tanpa sebarang gangguan kewangan.

“Sebanyak RM5,000 disalurkan sebagai sumbangan awal bagi membolehkannya menguruskan keperluan paling mendesak.

“Baki melibatkan yuran universiti, sewa rumah serta perbelanjaan lain yang keseluruhannya hampir RM20,000 akan saya selesaikan supaya dia dapat menamatkan pengajian dengan tenang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast