KUALA LUMPUR – Cadangan membenarkan kanak-kanak seawal enam tahun memasuki Tahun Satu wajar ditangguhkan kerana pelaksanaan itu dilihat secara tergesa-gesa tanpa libat urus menyeluruh serta berisiko menjadikan anak-anak sebagai “bahan makmal” sehingga boleh merosakkan generasi masa depan.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan perlu memastikan sebarang perubahan besar dalam dasar pendidikan negara dibincangkan secara matang dengan semua pihak berkepentingan termasuk guru, penggubal kurikulum, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa sebelum dilaksanakan.
“Ini bukan soal menentang, tetapi soal proses. Adakah dasar ini dibuat dengan matang? Kita bercakap tentang polisi yang tidak pernah dibuat sebelum ini tetapi mahu dilaksanakan seawal tahun depan,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris turut menyuarakan kebimbangan terhadap pendirian kerajaan yang disifatkan tidak konsisten apabila terdapat kenyataan berbeza melibatkan pelaksanaan dasar tersebut, termasuk menjadikannya pilihan ibu bapa, memperkenalkan ujian penapisan serta hanya dilaksanakan di sekolah yang mempunyai infrastruktur mencukupi.
Beliau berkata, cadangan mengadakan ujian diagnostik kepada kanak-kanak enam tahun amat membimbangkan memandangkan sebelum ini negara bersetuju memansuhkan peperiksaan seperti UPSR dan PMR bagi mengurangkan tekanan kepada murid.
“Bayangkan anak umur enam tahun sudah diuji. Kita pun tak tahu bentuk ujian itu. Sudah tentu akan wujud jurang antara keluarga kaya dan miskin. Yang berkemampuan boleh hantar anak ke kelas tambahan, bagaimana pula anak yang gagal? Apa kesan emosi kepada mereka?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan tersebut, membentangkan pelan pendidikan menyeluruh berpaksikan data serta perkembangan semasa, mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh dan menyelesaikan isu-isu asas pendidikan terlebih dahulu.
“Isu pokok hari ini bukan soal umur enam atau lima tahun, tetapi soal infrastruktur, kekurangan guru, beban tugas berlebihan sehingga guru terpaksa menjadi warden dan mengurus kebajikan pelajar, selain kualiti fasiliti sekolah,” katanya.
Idris menegaskan, Perikatan Nasional (PN) bersedia bekerjasama dalam isu pendidikan kerana ia bukan soal politik, sebaliknya melibatkan masa depan generasi anak dan cucu negara. – MalaysiaGazette
















