Fadzli Mohamad Kamal ketika ditemui pemberitaselepas merasmikan majlis penutup Ekspedisi Rakit Fighter 2.0 Anak Muda Pahang di Dataran Eco Kampung Tanjung Gahai, Lipis semalam

KUANTAN – Majlis Rekreasi Pahang (MRP) telah memilih Chini bagi penganjuran Cabaran Mara Lasak Pahang bagi tahun ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjurannya dijangka berlangsung antara bulan April atau Mei.

“Penganjuran ini bagi menjunjung titah Sultan Pahang agar Cabaran Mara Lasak ini diadakan di setiap daerah di negeri Pahang itu bagi memupuk semangat berjiwa kental dan jati diri serta tahan lasak dalam kalangan anak-anak Pahang khususnya orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ekspedisi Rakit Fighter 2.0 Anak Muda Pahang di Dataran Eco Kampung Tanjung Gahai, Lipis selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam.

Jelasnya, Cabaran Mara Lasak Pahang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah menuntut ketahanan mental dan semangat setiakawan peserta.

“Tahun lalu kita buat di Ulu Dong, Raub. Kali ini di Chini, yang mana setiap peserta akan melalui laluan sukar sejauh 15 kilometer membawa bebanan lima kilogram setiap seorang.

“Dalam Cabaran Mara Lasak ini, mereka akan melalui denai, sungai, bukit yang sudah pasti mencabar mental dan fizikal sebab terpaksa bawa bebanan seberat lima kilogram.

“Dan mereka tak boleh tinggalkan ahli kumpulan. Kalau ada 10 orang, kalau dia habis sembilan orang, dia dikira disqualified (hilang kelayakan). Dia kena bersama-sama dengan 10 orang peserta dalam kumpulan dia,” katanya.

Fadzli dalam masa sama menyeru golongan belia khususnya anak muda Pahang untuk menyahut cabaran menyertai program ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast