Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Jabatan Audit Negara (JAN) agar tidak memperkenalkan sistem pengauditan yang membebankan rakyat.

Beliau berkata, JAN perlu mendekati dan menyantuni rakyat untuk memahami kehendak sistem pengauditan yang lebih efisien, berkesan dan telus.

“Kadang-kala kita sistem perkenalkan tapi membebankan orang, setiap kali kita ambil langkah-langkah baharu yang cuba memperbaiki selalunya dibantah oleh orang yang biasa sama ada kelembaban ataupun penyelewengan.

“Bagaimana kita boleh perkenalkan sistem baharu yang dia tidak rasa terlalu menekan dan terlalu mempersulitkan rakyat. Ini menuntut ketua audit dan seluruh jabatannya mendekati, memahami dan menyantuni rakyat.

“Kita tidak mahu tanggapan bahawa sistem audit itu membebankan, ia mesti dijelaskan sebagai suatu langkah dan ikhtiar untuk memperbaiki kalau kita mahu negara ini terangkat kedudukannya,” katanya berucap dalam Majlis Peluncuran Sambutan 120 tahun JAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Jabatan Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi bergambar kenangan pada Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 JANUARI 2026

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Perdana Menteri juga berkata, sistem audit mestilah jauh lebih berkesan, efisien, lebih telus, lebih memberikan faedah dan dinikmat kepada semua rakyat.

“Kadang-kala kita lihat ada kesenjangan, ada ruang, ada jurang di antara cita-cita dan niat kita yang baik, hakikatnya sebaliknya, ini sedikit merunsingkan saya.

“Ini kerana dengan cita-cita yang baik, program yang baik tetapi kurang dimengerti kerana kurang menyantuni dan memahami rakyat menyebabkan ada pertembungan di antara dua aliran faham dan rasa resah dalam kalangan rakyat,” katanya.

Selain itu, perdana menteri mahu sistem pengauditan baharu dilakukan reformasi termasuk memperkenalkan pendigitalan dan bukannya menggerunkan rakyat.

“Ada yang turun sampai ke bawah supaya audit itu tidak dianggap suatu istilah yang menggerunkan. Saya ingin syorkan supaya diteruskan, saya tahu ada langkah-langkah diambil, saya bangga dengan prestasi JAN ini,” katanya.

Katanya, pembaharuan sistem pengauditan itu juga bagi mengatasi kebimbangan terhadap ketirisan, kecelaruan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan kepentingan dan dana awam.

“Itu jauh dapat dielakkan, boleh diperbaiki andai kata kita dapat laksanakan sistem pengauditan ini secara berkesan, dengan sendirinya sebaik saja kita audit dengan sempurna, sukar ketirisan itu berlaku.

“Kelemahan dalam pengauditan umpamanya ataupun kelewatan melaksanakannya akan menyebabkan ketirisan dan penyalahgunaan terus berlaku.

“Dengan memperkemas sistem pengauditan ini, dengan sendirinya masalah yang membelenggu negara kita tahun demi tahun, tentang penyelewengan dana, penyalahgunaan kuasa, ketirisan berlarutan itu dapat dikekang,” katanya.

Katanya lagi, negara mesti diselamatkan dengan memastikan sistem pengauditan itu canggih dan menyeluruh.

“Sebab itu dalam dua ke tiga tahun ini, kita beri ruang yang semaksimum mungkin, menerobos kepada semua jabatan dan sistem, asalkan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang sedia ada dan ruang lingkup bidang kerja kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast